Thursday, July 3, 2008

Kamaruddin dilantik Setiausaha Agung Pas

Utusan Malaysia (10/6/05): Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dilantik sebagai Setiausaha Agung Pas yang baru menggantikan Nasharuddin Mat Isa yang mengosongkan jawatan itu setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Selain itu, Dr. Hatta Ramli dilantik sebagai Bendahari Pas manakala satu lagi jawatan lantikan iaitu Ketua Penerangan diisi oleh Ahmad Awang.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada pemilihan parti yang diadakan di Kota Bharu minggu lalu.

Calon Naib Presiden Pas yang tewas, Mahfuz Omar, pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Penerangan di samping mengetuai Jabatan Penerangan Pas.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat yang baru di ibu pejabat Pas dekat sini hari ini.

Pelantikan Kamarudin, 54, menamatkan teka-teki sebelum ini sekali gus menepati ramalan ramai pihak sebelum ini yang mengaitkan namanya dengan jawatan tersebut.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tumpat itu menyertai Pas pada Julai 1999 setelah dipecat dari UMNO berikutan penglibatan secara serius dengan gerakan reformasi hingga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau juga adalah bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD) di samping ahli korporat.

Sementara itu, Abdul Hadi yang mengekalkan jawatannya setelah tidak dicabar pada pemilihan berkenaan turut mengumumkan senarai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas tambahan yang berjumlah sembilan orang.

Mengikut Perlembagaan Parti, ahli tambahan yang boleh dilantik hanya enam orang sahaja, tetapi berikutan pelantikan Kamaruddin, Hatta dan Ahmad ke jawatan baru itu maka jawatan yang kosong telah menjadi sembilan.

Kesembilan mereka yang dilantik itu ialah calon Timbalan Presiden yang kalah, Senator Hassan Shukri dan Datuk Abdul Halim Abdul Abul Rahman.

Turut dilantik ialah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Anuar Tan Abdullah, Mahfuz Omar, Asmuni Awi, Datuk Hishamudin Yahaya, Dr. Siti Mariah Mahmud, Dr. Dzulkifli Ahmad dan Mohamad Hanipa Maidin.

Dzulkifli dan Hanipa adalah muka baru dalam Jawatankuasa Kerja Pas Pusat manakala dua bekas Naib Presiden Pas pada penggal lalu, Datuk Mustaffa Ali yang tidak mempertahankan jawatannya dan Azizan Abdul Razak yang tewas tidak dilantik ke sebarang jawatan.

Mengenai barisan Pesuruhjaya Negeri, Abdul Hadi menjelaskan bahawa ia belum diputuskan lagi kerana kesuntukan masa.

``Itu saya akan umumkan nanti, yang hari ini pun saya bawa ke dalam mesyuarat hari ini dengan segera untuk diputuskan.

``Kita tunggu dulu, tunggu maklumat negeri-negeri,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai kriteria yang diambil kira dalam melantik barisan kepimpinan tambahan ini, Abdul Hadi memberitahu bahawa ia adalah berdasarkan kewibawaan masing-masing.

``Di samping itu mereka yang dilantik ini adalah pemimpin-pemimpin pelapis setelah ketiadaan muka-muka lama selepas muktamar lalu.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP