Thursday, July 3, 2008

Kamaruddin baru

Utusan Malaysia (5/7/99): ucapannya yang pertama setelah menyertai parti Pas, Kamaruddin Jaafar terus memperlecehkan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Lebih kurang katanya, ''Mahathir bukan datuk kita, tidak payahlah memanggilnya Datuk. Dia juga tidak berseri, maka tak payahlah panggil dia Datuk Seri. Dia juga bukan lagi jadi doktor, maka tak payahlah memanggil dia Doktor. Panggil saja dia Mahathir.''

Awang hampir tidak percaya kata-kata seperti itu keluar dari mulut Kamaruddin, seorang manusia yang disegani kerana ketertibannya; kerana pegangan agamanya; kerana budi pekertinya.

Mereka yang mengenali Kamaruddin tahu betapa bersopan santun dan berbudi bahasanya beliau. Kamaruddin juga sentiasa menghormati rakan-rakan tanpa mengira siapa mereka walaupun ada yang berkata beliau berubah setelah menjadi tokoh korporat.

Malah, selepas apa yang berlaku kepadanya ekoran pergolakan dalam Umno, beliau masih dapat mengawal diri dan tenang, mencerminkan perwatakan seorang yang matang serta tidak gopoh.

Melihat Kamaruddin bersyarah di Tumpat setelah memakai baju Pas, mereka yang mengenalinya sudah pasti terkejut. Terkejut bukan kerana Kamaruddin menyertai Pas, tetapi kerana perwatakannya berubah dengan tiba-tiba.

Kalau pun beliau sudah tidak sejalan lagi dengan Dr. Mahathir, celaan peribadi bukan cara Kamaruddin yang umum ketahui. Beliau dilihat sebagai seorang cendekiawan Melayu, bukan politikus picisan. Beliau bukan dalam liga politikus yang menjerit dan memekik supaya pemimpin Umno dibunuh.

Kenapa Kamaruddin terlalu cepat berubah? Apakah semata-mata kerana beliau kini memakai baju Pas?

Awang menghormati keputusan Kamaruddin. Adalah haknya untuk menyertai mana-mana parti. Bagaimanapun Awang mengharapkan Kamaruddin akan membawa cara dan gaya yang lebih polished, matang dan tidak remeh dalam meneruskan perjuangan politiknya. Memilih untuk mencerca Dr. Mahathir pada ucapan sulungnya serta memilih perkara seremeh itu bukan sahaja mengecewakan, malah, menunjukkan bahawa cara parti Pas tidak akan berubah biar siapa pun yang menyertainya.

Apa yang telah diperkatakan oleh Dr. Harun Din tentang Perlis adalah satu lagi contoh betapa cendekiawan Melayu yang disegani pun boleh terbabas apabila menyertai parti Pas.

Kemasukan Kamaruddin sepatutnya membawa sesuatu yang berisi. Tapi belum apa-apa lagi beliau sendiri menukar tarinya supaya sealun dengan rentak Pas.

Semakin nyata modal kempen parti-parti pembangkang hanya terhad kepada mencerca dan menghentam Dr. Mahathir. Ini menunjukkan mereka sememangnya tidak ada modal lain yang boleh dijadikan isu.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP