Thursday, July 3, 2008

6 ahli Umno terima surat tunjuk sebab ditemuduga


Ahmad Zahid (kanan) diiringi Hishammuddin tiba untuk menghadiri sesi temuduga oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno di Kuala Lumpur semalam.

Utusan Malaysia (12/11/08): Enam ahli Umno yang diberikan surat tunjuk sebab hari ini telah ditemuduga oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti itu berhubung penglibatan mereka dalam kegiatan yang menyalahi perlembagaan parti.

Mereka ialah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Mat Nor, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Tamunif Mokhtar, Pemangku Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Ahmad Saad dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Mat Ali Omar.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Sabbaruddin Chik berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 25 ahli Umno yang telah diberikan surat tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan disiplin.

''Kita mengadakan temuduga ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih teliti sebelum membuat cadangan kepada Majlis Tertinggi (MT) mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap mereka.

''Ini untuk mengelakkan berlaku kesilapan. Sebab itu mereka dipanggil untuk memberi pengakuan secara terbuka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi temuduga tersebut di ibu pejabat Umno di sini hari ini.

Pada sesi itu, kata Sabbaruddin, semua kenyataan enam ahli Umno itu telah direkodkan dan keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno apabila kesemua 25 orang ahli terbabit ditemuduga

Selepas itu, katanya, jawatankuasa itu akan membuat cadangan kepada MT yang akan bermesyuarat pada awal bulan depan.

''Temuduga ini bukan bertujuan untuk memecat mereka. Tiada keseronokan yang diperoleh oleh jawatankuasa ini dengan memecat orang lain,'' katanya.

Setiausaha Agung Umno itu juga memberitahu bahawa semua yang hadir pada temuduga itu telah memberikan keterangan secara serius dan jujur.

Sesi temuduga itu telah diketuai oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr. Yusof Noor, Ketua Pergerakan Wanita Datin Seri Dr. Siti Zaharah Ismail dan Pemangku Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas temuduga berkata, beliau dipanggil bukan untuk dipecat tetapi untuk memberi penjelasan mengapa beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, beliau telah menerangkan kepada jawatankuasa tersebut bahawa beliau kini hanya menumpukan kepada agenda untuk memperkukuhkan parti.

''Yang penting ahli-ahli Umno terutama yang saya wakili di Bagan Datoh bersatu semula,'' katanya.

Kamarudin Jaafar pula berkata, temuduga itu berkisar mengenai sikap beliau terhadap parti dan kepimpinan parti.

''Saya maklumkan kepada mereka bahawa ketaatan saya sudah tentu kepada parti dan kepimpinan parti,'' katanya.

Kamarudin Mat Nor pula memberitahu, beliau telah memberi penjelasan pada sesi temuduga itu mengenai apa yang telah beliau sebutkan dalam penjelasan terhadap surat tunjuk sebab.

Katanya, sebagai ahli parti beliau akan patuh kepada pucuk pimpinan.

Ahmad pula berkata, beliau akan terus bekerja untuk kekuatan dan kesejahteraan parti.

Tamunif ketika ditemui memberitahu, usaha perlu ditumpukan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana itu adalah lebih penting.

Sabbaruddin memberitahu, lima lagi ahli Umno yang telah diberi surat tunjuk sebab akan dipanggil untuk temuduga pada Rabu depan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa tersebut juga akan mencadangkan kepada MT supaya memecat ahli Umno cawangan Peramu dalam bahagian Kuantan, Wan Jusoh Wan Kolok kerana membenarkan ceramah reformasi diadakan di rumah beliau.

Dua lagi ahli iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong, Azman Shah Omar Shah dan ahli Umno cawangan Peramu, Basiron Man diberikan surat tunjuk sebab kerana terlibat dalam gerakan reformasi.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP