Thursday, July 3, 2008

Kamaruddin Jaafar antara sembilan anggota Umno yang dipecat

Bernama (6/7/99): Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam membuat keputusan untuk memecat sembilan anggota parti, termasuk Ketua Bahagian Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, kerana terbabit dengan kegiatan membantu dan menyertai parti pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata MT juga memutuskan untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada enam anggota Umno yang didapati terlibat dalam kegiatan bersimpati dengan pembangkang.

Bercakap pada sidang berita selepas mesyuarat MT di sini semalam, Abdullah yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno berkata MT juga meluluskan penubuhan 11 cawangan baru.

Mesyuarat MT itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno, berkata lapan lagi yang dipecat ialah empat dari bahagian Bukit Gantang, Perak iaitu Ismail Yusof, Haji Said Othman, Tarmizi Ismail dan Jumri Sabran.

Turut dipecat ialah Abdul Wahab Abdullah dari bahagian Johor Baharu, Senator Hamzah Mohd Zain dari bahagian Chenderoh, Perak, dan dua anggota lagi dari bahagian Tumpat iaitu setiausahanya Saufi Daud dan Mohamad Noor.

Abdullah berkata Timbalan Ketua Umno Tumpat, Haji Mansor Salleh dilantik sebagai pemangku ketua bahagian itu menggantikan Kamaruddin yang sebelum ini memohon cuti daripada jawatannya.

Kesemua enam anggota yang akan diberi surat tunjuk sebab ialah dari bahagian Tasik Chenderoh iaitu Ahmad Azam Abdullah, Mohamad Nazam Ismail, Mohamad Aminuddin Mohamad Hashim, Hashim Nawi, Mohamad Noor Mohd, Mohamad Yatim Mohamad Yusof.

Abdullah berkata masing-masing satu cawangan baru akan ditubuhkan di Terengganu, Pulau Pinang dan Perak, empat di Negeri Sembilan, dua di Johor dan dua lagi di Sabah.

Ketika ditanya mengenai kedudukan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Abdullah berkata ia tidak dibincangkan pada mesyuarat itu.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP