Thursday, July 3, 2008

Saya tak akan tunduk - PM -- Desakan pihak tertentu supaya pilihan raya diadakan lebih awal

Utusan Malaysia (7/7/99): Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak yang mendesak supaya beliau mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Perdana Menteri berkata, mereka boleh mengumpannya dengan apa sahaja isu dan beliau hanya akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.

''Saya bukan ikan...bila bagi umpan saya bukan nak gigit. Saya akan buat keputusan saya sendiri pada masa saya sendiri, jangan cuba umpan saya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Siemens Futurelab, sebuah makmal multimedia terkini di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan tidak mengadakan pilihan raya semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada tekanan atau desakan pihak tertentu.

Lagi pula, katanya, masih ada banyak masa sebelum diumumkan tarikh pilihan raya dan parti-parti pembangkang boleh terus mengadakan ceramah mereka sehingga mereka keletihan.

''Kita tidak mengadakan ceramah hanya menunggu sahaja,'' ujar beliau.

Pembangkang juga, kata beliau, boleh terus memasang bendera sehingga tidak ada lagi bendera untuk dipasang.

''Kita mengalu-alukan mereka memasang bendera, mereka akan menang perang bendera dan saya harap mereka tidak akan menang dalam pilihan raya,'' ujarnya.

Mengenai ramalan Tengku Razaleigh bahawa pilihan raya akan diadakan pada lewat bulan Ogos atau awal bulan September ini, Perdana Menteri berkata:

''Dia (Razaleigh) juga membuat spekulasi sama seperti orang lain, seperti kamu (merujuk kepada wartawan yang bertanya soalan itu).''

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Presiden Umno menjelaskan pemecatan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, bukan disebabkan oleh hubungan beliau dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Kamaruddin dipecat kerana beliau tidak setia kepada parti dan tidak lagi mampu menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin peringkat bahagian.

''Seseorang itu (ahli Umno) mesti menunjukkan kesetiaan kepada parti dan kita akan mengambil kira kegiatan beliau,'' katanya.

Malam tadi Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan memecat Kamaruddin serta lapan ahli yang lain kerana terbabit membantu dan menyertai parti pembangkang.

Kamaruddin, rakan rapat Anwar, sebelum ini memohon bercuti dari kegiatan politik sejak 1 Mei lalu setelah diletakkan di bawah pemerhatian MT sejak Disember lalu sebaik sahaja dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Dr. Mahathir, tindakan bekas pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD) itu untuk bercuti menunjukkan beliau tidak lagi berminat untuk terus menerajui Umno bahagian Tumpat.

Perkara itu, kata Dr. Mahathir, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ketua bahagian sebelum ini.

''Tidak ada ketua bahagian yang ambil cuti, malah, beliau (Kamaruddin) tidak hadir dalam mesyuarat perwakilan.

''Kita juga dengar kegiatan beliau tidak secocok dengan beliau yang merupakan seorang pemimpin peringkat bahagian,'' jelas Perdana Menteri.

Ditanya sama ada akan ada lagi tindakan seperti itu, beliau berkata, kepimpinan Umno melalui jawatankuasa pengurusan dan disiplin akan mengkaji setiap laporan yang diterima.

''Kalau kita dapati ada asas kita akan ambil tindakan,'' tegas beliau.

Semua tindakan yang diambil itu, kata Dr. Mahathir, tidak akan menjejaskan persiapan Umno dan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya kerana ia melibatkan sejumlah kecil ahli berbanding ketika Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1987.

''Sekarang tidak ada ahli MT yang letak jawatan cuma pemimpin-pemimpin kecil sahaja,'' ujarnya.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP