Thursday, July 3, 2008

Nasib 25 ahli Umno diketahui esok

Utusan Malaysia (5/11/98): Nasib 25 daripada 33 ahli Umno yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti itu akan diketahui pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Jumaat ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Sabbaruddin Chik berkata, ahli-ahli Umno itu termasuk bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jawapan kepada jawatankuasa itu mengenai arahan tunjuk sebab yang dikeluarkan baru-baru ini.

''Jawatankuasa akan mencadangkan tindakan yang berbeza-beza dan sewajarnya kepada MT berdasarkan alasan yang dikemukakan oleh mereka dalam surat jawapan.

''Bagaimanapun, keputusan mutakhir akan dibuat oleh MT,'' katanya kepada para pemberita selepas mesyuarat mingguan Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno di sini, hari ini.

Sabbaruddin berkata, di bawah perlembagaan parti, ahli-ahli itu boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberi amaran, digantung hak sebagai ahli, dilarang bertanding sebarang jawatan parti dan dipecat daripada parti.

Sepanjang Oktober lalu, Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno telah mengarahkan 33 ahlinya mengemukakan surat tunjuk sebab selepas mereka disyaki terbabit dalam gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Zahid, mereka yang dikemukakan surat tunjuk sebab ialah Datuk Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Md. Nor, Datuk Ahmad Ismail, Tamunif Mokhtar dan Asmaon Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, 12 lagi anggota Umno diarahkan memberi alasan mengapa tindakan disiplin tidak boleh dikenakan terhadap mereka.

Katanya, salah seorang daripada mereka ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Teluk Intan, Hamdan Mohd. Taha dan selebihnya ahli-ahli Umno dari bahagian Dungun, Terengganu.

Mereka ialah Mokhtaruddin Wan Yusuf, Sazali Abas, Wan Zulkifli Wan Gati, Tg. Hamzah Tg. Deraman, Haniffa Kunyalan, Ramli Abdul Rahman, Ramli Osman, Yop Sulong, Mohd. Ngah, Indera Mat Zain dan Wan Abd. Hadi.

Sabbaruddin juga memberitahu, jawatankuasa itu telah bersetuju mewujudkan tujuh lagi cawangan baru Umno iaitu dua di Tambun, Perak; lima di Johor iaitu Bakeri (1), Sri Gading (2), Batu Pahat (1) dan Pulai (1).

Beliau menjelaskan, usul untuk mengurangkan had umur keahlian Umno kepada 16 tahun yang akan dibahaskan pada mesyuarat khas parti itu 13 Disember ini bukan bertujuan menambah bilangan ahli Umno.

''Sebaliknya ia adalah untuk menanam kesedaran berparti kepada golongan remaja (tidak bersekolah) yang mempunyai kemahuan melibatkan diri di dalam politik,'' katanya.

0 comments:

Harakahdaily

Malaysiakini

MP Pas

Parliament News

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP